Jumaat, 6 April 2012

Rakusan Siakap di Lubuk Janda KM

Assalammualaikum....

‘Geng Casting Jazirah’; aku, Mat Shah, Hisham dan Poksu membuat rancangan rapi dalam April 2011 untuk casting/mengilat di tempat biasa kami(nama lubuk dirahsiakan bagi menjamin keselamatan ikan). Kepada yang belum tahu, teknik mengilat adalah pancingan menggunakan umpan gewang(ikan, udang atau serangga buatan), selepas gewang dilempar, proses mengarau menggerakkan gewang supaya pemangsa melihat umpan bergerak adalah mangsa untuk disambar. 

Kali ni aku akan mengilat bersungguh-sungguh kerana sudah hampir dua bulan tidak beradu tenaga. Sejak awal lagi, senjata kekili Ajiking queen dan Daiwa sweepfire 2000 serta rod Cherrywood dan Daiwa aku siapkan, mudahan cukup untuk bertempur di lubuk janda yang lama kami tinggalkan. 

Tumpuan kami adalah siakap putih, Lates calcarifer (barramundi/seabass) atau siakap merah, Lutjanus argentimaculatus (mangrove jack/red snapper) memang tidak asing lagi kepada kaki-kaki mengilat atau kaki ‘casting’ sama ada yang berusia remaja mahupun dewasa. Sebut sahaja di mana lubuk siakap, pasti menjadi tumpuan hingga habis stok kalau jenis kaki casting sapu bersih. Yang pasti bukan aku. 

Pada jam 2 petang, kami meluncur dengan Isuzu D-max putih ke destinasi idaman, lubuk sekitar Kota Marudu(Sabah). D-max tidak mungkin meluncur hingga ke lubuk, jadi kami menapak menyusuri pantai dan pohonan nipah sejauh 1 kilometer dari tempat D-max ditinggalkan. Berhadapan muka kuala, halangan batang pokok kayu mati tumbang ke Bumi terpaksa kami redahi bersama senjata dan semangat yang mungkin lebih tinggi dari Kinabalu. Pada waktu ini, air masih surut, maka mudahlah untuk kami ke lubuk idaman. Kami pernah melalui kawasan ini ketika air pasang dalam, terpaksa mengharung air sedalam paras pinggang ketika melintasi alur sungai berhampiran pohon nipah ini. 
Panorama indah pantai yang kami susuri
Pohon mati tumbang di muka kuala
Lubuk ini adalah kunjungan biasa kami, namun sudah 3 bulan lubuk ini tidak kami jengah kerana hujan dan banjir yang melanda sejak awal tahun. Harapan kami siakap sudah bertambah jumlah dan saiznya serta bersarang di lubuk janda ini kerana tiada kunjungan dari pemancing. Tahun lepas lubuk ini menjadi saksi Mat Shah mendaratkan siakap putih lebih kurang 7kg dan itu adalah rekod terbaik peribadinya. 
Lubuk janda dengan reba menjadi tumpuan perakus siakap
Mat Shah dengan rekod siakap putih 7kg suatu ketika dahulu
Setibanya kami di lokasi tumpuan, kelibat siakap yang jelas kelihatan melalui kocakan air jernih dan anak-anak ikan berterbangan berhampiran himpunan kayu atau reba menyambut kami dengan riangnya. Dengan galakan itu, Mat Syah bersama kekili Abu Garcia Silvermax dipadankan dengan rod Fenwick 6 kaki dan gewang Hinomiya redhead sebagai taruhan mengilat siakap. Hanya beberapa balingan sahaja, satu ragutan kasar mengejutkan kalenjar adrenal Mat Syah dan direntapnya sepantas kilat agar mata tiga VMC tertancap di mulut sang siakap. Pertaruhan singkat itu telah mendaratkan siakap merah berskala 1kg dan ini petanda baik bagi kami. Namun, lubuk pertama ini hanya menghadiahkan kami seekor siakap merah sahaja. Kilatan aku dan yang lain dirabut tetapi terlepas. Poksu yang lebih tertumpu kepada pancingan dasar sahaja berjaya mendaratkan beberapa ekor ikan sembilang dan belukang.
Mat Shah dan tangkapan pertama hari ini
Kami kemudian berpindah ke lubuk yang lain kecuali Poksu. Tempat baru ini sangat ‘cantik’ kerana himpunan pohon bakau tumbang ke dalam sungai akibat hakisan banjir sudah tentu menjadi tumpuan sang siakap. Balingan pertama Mat Syah sahaja sudah disambut siakap tetapi rabut(terlucut) dan balingan yang kedua juga tidak hampa. Walaubagaimanapun, belum sempat sembatan kemas, tali sulam putus mengejut dek rentapan siakap ‘monster’ ke celahan reba. Kemungkinan tali sulam Spiderwire 20lbs Mat Syah tewas dengan geseran teritip pada tunggul kayu di dalam sungai. 

Aku lihat Hisham rancak dengan tangkapan 4 ekor siakap merah berskala 1kg. Aku pula dengan 2 ekor siakap skala 0.5kg di lubuk yang sama. 
Siakap curut
Tidak lama selepas itu, satu sambaran pada set kekili Daiwa Sweepfire 2000 dan rod Daiwa 5ft aku melengkung lentur diragut oleh ‘sesuatu’ berdekatan dengan reba di dalam sungai. Sepantas kilat aku berjaya mengekang larian ikan ke celah reba dan satu lompatan padu ke atas oleh siakap putih menjawab teka teki kami. Tidak sampai 1 minit, siakap putih 1.6kg berjaya aku tewaskan. Aku bertarung lebih agresif bagi mengelakkan tali sulam terbelit di ranting kayu atau putus kerana tidak menggunakan steel pada gewang. Kepuasan terpancar di wajahku bersama dengan rasa gementar yang belum reda kerana adrenalin juga belum surut. Kejayaan ini mengejutkan kami kerana joran ekonomiku(kekili untuk pancingan udang galah) mampu menewaskan sepsis sebesar ini. 
Ini baru 'real adventure' kasi gegar rod dan semangat aku, siakap 1.6kg dengan set ekonomi
Dalam masa hampir 2 jam lebih, kami berjaya mendaratkan 10 ekor siakap anggaran berat semuanya 9kg hanya melalui tebing sahaja. Pada anggapan kami, jika menggunakan bot, sudah tentu segenap lubuk dapat diterokai dan hasilnya lebih lumayan. Namun kami tetap bersyukur dengan rezekiNya yang diberikan kepada kami. 

Jam menghampiri 5 petang dan kami berangkat pulang dengan kepuasan dan senyuman menghiasi wajah kami setelah misi tercapai. Kami singgah menunaikan kewajipan solat Asar berjemaah dalam perjalanan pulang, bimbang tidak sempat solat di rumah masing-masing. InsyaAllah kami akan kesana lagi jika ada kelapangan dan sesuai dengan pasang surut air laut.
Bagus juga tangkapan aku hari ini
Bergerak pulang, Alhamdulillah tersenyum puas dengan rezki dariNYA

Terima kasih kepada ‘Geng Casting Jazirah’ Siakap rakus bersama Han…

Tiada ulasan:

Catat Ulasan